Monday, July 27, 2009

SEMANGAT KAYU

Seni Ukir Melayu: Asal usul dan Perubahan Rupa dan Jiwa

Malay Art of Woodcarving:

Derivation and Transformation of Form and Content

“Tumbuh berpunca

Punca penuh rahsia

Tumbuh tidak menerjah lawan

Memaut tidak merebah kawan

Tetapi melengkar penuh mesra”

Ungkapan Melayu lama

Seni ukir Melayu yang tersurat indah lagi berseni masih belum cukup dimengertikan untuk menjadikannya sesuatu yang dibanggakan oleh masyarakat Melayu masa kini. Pengertian yang tersirat harus difahami seimbang dengan penghayatan tersurat bagi menikmati sepenuhnya keindahan yang dihasilkan oleh penciptanya. Bagi mereka yang kenal dan faham tentang penghasilan karya sebilah keris, akan mengakui ianya bukan sebarang senjata yang harus diperlekehkan kerana pembuatannya sungguh berseni dan tersembunyi rahsia yang sarat mengandungi makna disebaliknya. Namun, seni ukir Melayu bukan hanya indah oleh karya keris semata tetapi dilengkapkan oleh berbagai lagi karya seni pertukangan Melayu hasil kebijaksanaaan pengukir kayu yang berjiwa halus dan luhur. Kertas seminar ini bermula dengan beberapa persoalan yang cuba di kupas dan dijawab mengenai seni ukir kayu dalam mencari titik permulaan dan cuba memahami perubahan yang berlaku semoga dapat difahami matlamat dan makna penghasilannya. Karya ukiran kayu begitu banyak sekali dan ia telah melalui proses perubahan lahiriah yang begitu jelas tetapi samar kandungannya.

Apakah dia perubahan dan untuk tujuan apakah proses ini berlaku?

Analisa dan huraian terhadap persoalan yang terlibat boleh dilihat dari berbagai sudut atau pendekatan. Walaubagaimanapun dalam kertas seminar ini fokus pendekatan ialah melalui sudut kesenian visual atau tampak, yang melihat rupa, bentuk, fizikal dan luaran yang tersurat pada ukiran kayu dan membongkar makna, maksud serta erti kandungan yang tersembunyi atau tersirat disebalik karya yang berseni ini. Persoalan-persoalan yang menjadi kupasan kertas seminar ini termasuk:

Apakah dia rupa atau bentuk seni ukir kayu Melayu?

Dimanakah letaknya ukiran kayu pada karya seni pertukangan Melayu?

Apakah tujuan sebenar ukiran kayu pada orang Melayu?

Apakah kepercayaan dan pegagangan pengukir atau tukang Melayu?

Darimanakah sumber rupa atau bentuk seni ukir Melayu?

Kenapakah ukiran kayu perlu sebagai pelengkap karya seni Melayu?

Apakah, pengertian dan makna yang terkandung disebalik rupa seni ukir Melayu?

Apakah nilai-nilai yang ingin dipupuk melalui jiwa seni ukir Melayu?

Persoalan-persoalan yang dikemukakan akan menjawab beberapa tanda tanya yang berkaitan dengan kesenian ukir kayu Melayu yang perlu dijaga dan dibaja daripada mati dan luput dari ingatan bangsa. Kerunsingan dan kebimbangan ini menjadi ketara kerana arus pembangunan negara masa kini umpama lalai tentang pentingnya keseimbangan hal-hal peradaban manusia yang luaran dengan soal dalaman dan jiwa untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Aspek kesenian dilihat dapat membantu kearah matlamat mengujudkan insan yang sempurna dengan etika dan moral yang tinggi.

sumber dipetik: http://semangatkayu.com/index.php?option=com_content&task=view&id=29&Itemid=33&limit=1&limitstart=0

No comments:

Post a Comment